(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media bersama para
pengamal media dari Malaysia pada hari terakhir lawatan
rasminya ke China/BERNAMA)
BEIJING, 1 April- Kerajaan mempertahankan kunjungan rasmi ke luar negara amat bermanfaat kepada rakyat, selain menjadi usaha terbaik bagi memperkasa ekonomi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar turut beranggapan mereka yang mengkritik siri lawatan kerajaan ke luar negara sebagai tidak cakna kepada perkembangan semasa.
Menurut beliau tumpuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan pemimpin China serta sambutan daripada tokoh-tokoh perniagaan dan industri China terhadap lawatannya ini menunjukkan keakraban hubungan kedua-dua negara.
“Sambutan dan tumpuan yang diterima hebat dan luar biasa. Saya anggap ini satu perkembangan sangat positif.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media bersama para pengamal media dari
Malaysia pada hari terakhir lawatan rasminya ke China/BERNAMA)
"Kunjungan ini memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media Malaysia dalam satu sidang akhbar di akhir lawatan rasmi beliau ke China di sini malam ini.
Katanya, lawatan rasminya ke China kali ini membawa pulangan pelaburan terbesar dalam sejarah dengan nilai pelaburan China ke Malaysia sebanyak 170.7 bilion ringgit.
Ia melibatkan pelaburan syarikat-syarikat China merangkumi sektor perumahan, pendidikan, pertanian, teknologi dan tenaga.