Latihan kemahiran buka peluang belia peroleh pekerjaan dengan gaji kompetitif

Sijil kemahiran yang diiktiraf industri berupaya membuka peluang kepada golongan belia

LABU, 30 Julai – Pembangunan modal insan menerusi latihan kemahiran terus diberi penekanan, bertujuan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berpendapatan tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sijil kemahiran diiktiraf industri membuka peluang belia memperoleh pekerjaan dengan gaji lebih kompetitif.
  • Skim Graduan Madani manfaatkan graduan mengikut keperluan industri, memberi gaji minimum selari kemahiran dimiliki.
  • Negeri Sembilan sasar 50,000 peluang pekerjaan lima tahun menerusi pelaburan asing dan domestik di kawasan perindustrian strategik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan sijil kemahiran yang diiktiraf industri berupaya membuka peluang kepada golongan belia untuk memperoleh pekerjaan dengan gaji lebih kompetitif.

“Skim Graduan Madani (SGM), misalnya memberi manfaat kepada graduan selaras dengan keperluan industri. Mereka juga bakal memperoleh gaji minimum selari dengan kemahiran yang dimiliki,”katanya pada Program Kenduri Sekampung, di Kampung Gadong SC Labu, malam tadi.

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan 50,000 peluang pekerjaan baharu disasarkan di Negeri Sembilan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sasaran itu sebagai usaha meningkatkan peluang pekerjaan bagi golongan belia serta mengurangkan penghijrahan kumpulan berkenaan.

“Ia akan direalisasikan menerusi kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik ke kawasan perindustrian strategik di negeri ini,”ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai cadangan pembinaan rumah mampu milik untuk golongan muda.

“Penyediaan lebih banyak rumah mampu milik yang juga antara keutamaan itu agar ianya seiring dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,”katanya.

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.