fb fb fb fb fb

Larry Sng gantung Zuraida dan 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM

(Datuk Larry Sng Wei Shien (KANAN) dan Datuk Zuraida Kamaruddin)

KUCHING, 29 Oktober- Datuk Larry Sng Wei Shien, yang mendakwa dirinya masih Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah, menggantung Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti itu.

Dalam kenyataan di akaun Facebooknya malam tadi, Sng turut menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM.

Beliau berkata penggantungan itu berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) yang dilakukan kerana penglibatan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Dua belas individu itu ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Penggantungan itu berhubung penglibatan mereka dalam menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.

"Saya mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum. Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya.

"Satu Mesyuarat Majlis Tertinggi akan diadakan pada Ahad ini, 30 Oktober 2022, di Sarikei, Sarawak, pada jam 4:00 petang memandangkan perkara ini amat mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Tambah Larry, dia akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membenarkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari yang diperlukan.

Mereka yang telah digantung tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut sambil memaklumkan surat penggantungan telah dihantar kepada mereka secara individu.


(Tangkap layar Facebook Larry Sng)

Media Baharu