SATUN, 29 Oktober- Perlis terus memperkukuh jaringan kerjasama yang termeterai dengan wilayah Selatan Thailand dalam pelbagai bidang.
Ini termasuklah dalam kalangan Jemaah Datuk-Datuk Perlis (JDDPs) yang bekerjasama dengan Pejabat Gabenor Satun bagi melaksanakan Pendidikan Pelancongan antara Perlis dan Satun.
Menurut Pengerusi Jemaah Datuk-Datuk Perlis (JDDPs), Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak, bidang pendidikan dilihat berpotensi besar untuk diperluaskan dalam kalangan pelajar di wilayah Satun.
Ini berikutan Perlis mempunyai pelbagai institusi pendidikan yang mampu menawarkan pelbagai bidang kemahiran dan kepakaran untuk dipelajari dan kerjasama ini sekali gus membolehkan kedua-dua pihak menerima manfaatnya.
Usaha ini juga selari dengan kerjasama strategik yang telah terjalin sejak 2015 antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan enam wilayah Andaman di Selatan Thailand iaitu Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.
Bersempena lawatan ini, Jemaah Datuk-Datuk Perlis turut menandatangani dokumen Tunjuk Minat bersama Majlis Agama Wilayah Satun yang menyuarakan kesudian untuk saling menyokong dalam pembangunan pendidikan, ekonomi, sosial dan pelancongan antara sempadan.
(PertemuanĀ berlangsung di Satun, Selatan Thailand)