fb fb fb fb fb

Dua anggota PGA8 maut dalam kemalangan

(Foto Hiasan)

KOTA BHARU, 29 Oktober- Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA8) maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Rantai Panjang-Pasir Mas, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 4.25 pagi itu menyebabkan Lans Koperal Jerry Layong Nyalin, 32, dan Koperal Juna Jembat, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Kedua-dua mangsa yang bertugas di Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa, di sini, menaiki kereta jenis Perodua Myvi.

"Ketika kejadian pemandu lori tiada di dalam kenderaan tersebut dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat," katanya.

Tambah Mohd Nasaruddin, keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan dan pihak pentadbiran PGA8 sedang menguruskan kebajikan mangsa.

Beliau turut menasihatkan pemandu di jalan raya agar lebih berhati-hati serta peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak sebarang kemalangan maut.


(Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir)

Media Baharu