KUALA LUMPUR, 25 Julai – Larangan terhadap penjawat awam daripada terbabit dalam sebarang aktiviti politik disifatkan sebagai langkah rasional.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat merangkap Ahli Majlis Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu bagi memastikan perkhidmatan awam kekal telus, beretika dan bebas daripada pengaruh kepentingan peribadi.
Langkah itu sekali gus mengekalkan penjawat awam berkecuali dalam menjalankan tugas dengan amanah.
"Penjawat awam perlu menjunjung amanah dan kekal profesional dalam menyampaikan khidmat kepada masyarakat.
"Larangan berpolitik adalah rasional bagi menjaga neutraliti (berkecuali), mengelak pengaruh politik dan memastikan perkhidmatan awam diyakini rakyat," katanya kepada RTM ketika diminta mengulas surat edaran ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Surat edaran itu melarang penjawat awam daripada menyertai sebarang aktiviti politik selain mengekalkan kedudukan berkecuali daripada mana-mana parti.
Selain itu, surat berkenaan turut menggariskan tuntutan agar penjawat awam menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.