PUTRAJAYA, 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya.
"Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta jajahan takluknya.
"Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Kebawah Duli Paduka Baginda dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Dirgahayu Tuanku," kata Anwar.