BUTTERWORTH, 25 Julai - Keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol disambut baik oleh rakyat Pulau Pinang, terutamanya pengguna jalan raya yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja.
Penduduk yang ditemui menyifatkan ia sebagai langkah bijak dan prihatin terhadap beban yang ditanggung pengguna jalan raya.
Salah seorang penduduk di negeri itu, Tengku Haslizawati Tengku Hamid berkata berita gembira tersebut disambut dengan penuh rasa bersyukur.
“Saya rasa seronok bila tidak dinaikkan harga tol, sebab saya menggunakan jalan itu setiap hari tu hari-hari... harap berterusanlah,” katanya.
Sementara itu, Khairul Azni Abu Bakar pula menyatakan penangguhan itu memberi kelegaan kepada pengguna tetap lebuh raya.
"Bersyukur lega dan sikit sebanyak tidak memberi impak kepada kos harian. Itu sahajalah, sebab pada pengguna yang selalu guna tol ini, kalau kalau tol dinaikkan sudah tentu ia perlu mengeluarkan kos yang lebih... jadi akan membebankan kepada pengguna jalan raya", katanya.
Aiman Kamil turut menyuarakan pandangan serupa, menyambut baik langkah penangguhan itu kerana menurutnya, tol adalah kos harian yang signifikan bagi rakyat biasa.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menangguh kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya, antaranya melibatkan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, Lebuhraya Senai – Desaru, Lebuhraya KL-Putrajaya dan Lebuhraya Pantai Timur 2.