KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Pemaparan identiti kanak-kanak ke platform umum wajib dirahsiakan sepenuhnya pihak media termasuk nama dan sekolah serta maklumat berkaitan yang menyebabkan kanak-kanak itu dikenali.
Peguam, Dr. Mahmud Jumaat berkata larangan itu termaktub dalam Seksyen 15, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) selain, selaras dengan prinsip perlindungan kanak-kanak yang juga digariskan dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCRC).
Jika didapati bersalah, hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 boleh dikenakan.
“Sekiranya identiti kanak-kanak didedahkan, ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan mereka.
Dari sudut sosial, kanak-kanak berisiko dipinggirkan atau dikecam masyarakat, sekali gus menjejaskan kestabilan emosi serta mendorong kepada tekanan perasaan dan kemurungan,” kata Dr. Mahmud, hari ini.
Beliau ditemui pemberita RTM selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.
Tegasnya, tindakan pendedahan itu boleh mengganggu proses pendidikan dan perkembangan mental kanak-kanak, malah menjejaskan masa depan mereka apatah lagi mereka dibuktikan tidak bersalah.
Akta Kanak-Kanak 2001 digubal bagi memastikan golongan bawah umur dilindungi daripada diskriminasi, eksploitasi dan sebarang bentuk penganiayaan termasuk pendedahan identiti secara terbuka.