KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kementerian Pertahanan memandang serius insiden melibatkan penahanan anggota yang boleh menjejaskan integriti serta maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata sekiranya terbukti bersalah, ia merupakan perkara yang mencemarkan imej institusi pertahanan negara.
“Insiden-insiden yang melibatkan penahanan dan sebagainya menjejaskan integriti serta maruah ATM perlu dielakkan.
“Saya berharap tiada sesiapa akan menyalahgunakan pangkat atau kedudukan yang diamanahkan untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang ataupun tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 peringkat Kementerian Pertahanan di ibu negara hari ini.
Beliau menegaskan, insiden berkenaan tidak mencerminkan keseluruhan imej ATM yang kekal hebat, disegani serta diyakini rakyat dalam memelihara kedaulatan negara.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air.