fb fb fb fb fb

ASEAN meriahkan Temasya Warisan Pahang 2025

Foto Kesultanan Pahang

KUANTAN, 21 Ogos - Turkiye bersama tiga negara ASEAN iaitu Laos, Indonesia dan Singapura akan menyertai Temasya Warisan Pahang 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 7 September di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi.

Menurut kenyataan Kesultanan Pahang, penyertaan negara-negara tersebut mencerminkan sokongan antarabangsa terhadap usaha Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam mengangkat seni kraf warisan ke persada dunia.

Temasya julung kali itu akan mengetengahkan pelbagai bengkel kraf dan masakan warisan, bukan sahaja dari Pahang malah dari negeri lain termasuk Sarawak.

Majlis perasmian dijadual disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos ini, pukul 8.30 malam di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultanah Terengganu Sultanah Nurzahirah, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Majlis turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Pada malam itu juga, akan berlangsung pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah, penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah Pertandingan Tenun Pahang Diraja, serta pameran Lukisan Jiwa oleh penyanyi tersohor, Datuk M. Nasir.

Sepanjang tujuh hari penganjuran, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk bengkel kraf batik blok, tanah liat, kelingkam, tenunan sutera dari Laos, sulaman, serat nanas dan kenaf.

Tengku Ampuan Pahang turut dijadual mempersembahkan demonstrasi masakan tradisional bangsawan serta menganjurkan pertandingan memasak untuk pelajar sekolah.

Selain itu, temasya ini juga menampilkan pameran warisan gastronomi Pantai Timur, pameran tiffin, lukisan serta kraf Orang Asli seperti ukiran patung suku kaum Jahut, anyaman selempang Semelai, dan pembuatan tikar serta bakul rotan.

Majlis penutup akan berlangsung pada 7 September di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan pada pukul 8.00 malam.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE