fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh langkah bendung ancaman pengintipan

Malaysia memperkukuh langkah pencegahan serta intervensi bagi mengekang ancaman pengintipan yang dilihat semakin kompleks / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Malaysia memperkukuh langkah pencegahan serta intervensi bagi mengekang ancaman pengintipan yang dilihat semakin kompleks, menerusi tiga pendekatan utama iaitu pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara langkah yang diambil ialah pemantauan berterusan terhadap senarai syak atau senarai hitam selain memperketatkan tapisan keselamatan.

2108 PAR SAIFUDDIN EJEN PENGINTIPAN 2Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

“Di negara kita, pasukan keselamatan sentiasa memantau senarai syak atau senarai hitam. Kedua, kita tingkatkan keupayaan unit siber terutama badan perisikan dalam negara bagi mengendalikan data kritikal dan sensitif.

“Kita juga menjalankan koordinasi program keselamatan maklumat serta bekerjasama dengan badan antarabangsa seperti Interpol dan Aseanapol. Pada masa sama, tapisan keselamatan diperketat, khususnya melibatkan pihak asing yang bekerja di negara ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau anak Gingkoi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi aspek penguatkuasaan, jelas Saifuddin, Malaysia mempunyai rangka perundangan yang kukuh termasuk Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Akta Imigresen serta Akta Komunikasi yang diguna pakai bagi membendung sebarang ancaman pengintipan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN