fb fb fb fb fb

Laporan siasatan insiden Putra Heights dibentang kepada umum pada Isnin

Foto fail kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025

SABAK BERNAM, 28 Jun- Kerajaan Selangor akan membentangkan laporan siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights kepada umum pada Isnin ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan berkenaan telah disiapkan berdasarkan penilaian Jawatankuasa Siasatan Khas yang meneliti dua aspek utama, iaitu unsur jenayah dan faktor teknikal.

"Hari Isnin, laporan dah siap. Tetapi pelaporan secara bertulis telah disiapkan semalam, sekarang pula bertindih dengan cuti awal Muharam. Saya dimaklumkan jawatankuasa tetap akan umum pada Isnin," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Fasa Pertama Kompleks Pendaratan Hasil Laut di Sekinchan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengesahkan bahawa 219 unit rumah terjejas dalam insiden tersebut, melibatkan 81 unit yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus, dan 138 unit yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.

Insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights berlaku pada 1 April lalu turut menjejaskan kediaman lain di sekitar Kampung Tengah, Puchong.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI