fb fb fb fb fb

Laporan penuh siasatan kes kematian Muhammad Adib dibawa ke kabinet bulan depan

(FOTO FAIL)

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan kes kematian allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dibentangkan ke Parlimen pada September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Laporan Jawatankuasa Khas itu telah disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Ogos 2022.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas itu berkata, laporan yang disediakan telah mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang telah dilantik dan wakil kementerian, jabatan serta agensi berkaitan.

(Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar / FOTO FAIL)

“Jawatankuasa Khas ini juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti punca kematian termasuklah sesi temu bual saksi-saksi kes, sesi penelitian dokumen-dokumen siasatan di War Room Jawatankuasa yang diadakan hampir setiap minggu.

“Selain itu, sesi rekonstruksi kejadian juga telah diadakan dengan semua agensi berkaitan bertujuan untuk membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman-rakaman video serta keterangan daripada saksi-saksi kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Wan Junaidi, beliau berharap agar laporan ini dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden berkenaan.

Katanya, kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang kembali di masa hadapan.

Media Baharu