fb fb fb fb fb

Laporan MHI : Malaysia berada dalam kategori bahagia

(FOTO BERNAMA)

PUTRAJAYA, 22 Julai - Malaysia mencatat skor 6.48 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021, sekali gus meletakkan negara dalam kategori bahagia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks yang julung kali diperkenal Jabatan Perangkaan Malaysia itu mengukur tahap kebahagiaan dari aspek fizikal, sosial, emosi dan rohani dengan jumlah skor antara 0 hingga 10.

MHI dinilai berdasarkan 13 komponen utama merangkumi keluarga, perumahan dan alam sekitar, penyertaan sosial, kesihatan, kemudahan komunikasi, pendidikan dan persekitaran kerja.

"Indeks kebahagiaan rakyat Malaysia ini amat penting untuk kita gunakan sebagai input dalam penilaian tahap kebahagiaan rakyat Malaysia sama ada di peringkat nasional ataupun di peringkat negeri dan ianya boleh digunakan untuk kita melihat dari segi pencapaian kemakmuran dan prinsip inklusif dalam kita membangunkan masyarakat dan negara," kata beliau pada sidang media pelancaran Laporan MHI 2021, di sini.


(Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin melancarkan Laporan Indeks Kebahagiaan
Rakyat Malaysia 2021 di Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini/ Foto BERNAMA)

Tambah Uzir, kaji selidik indeks tersebut dijalankan bermula September hingga November 2021 melibatkan 42,400 responden seluruh negara.

Mengikut negeri, Labuan mencatat skor tertinggi 9.29, pada tahap sangat bahagia. 

Manakala Melaka dan Selangor pada tahap sederhana bahagia, masing-masing pada skor 5.85 dan 5.74.

Mengikut strata, luar bandar mencatat skor indeks lebih tinggi pada 6.54, berbanding 6.46 di kawasan bandar.

Sementara itu mengikut jantina, perempuan mempunyai skor lebih tinggi pada 6.49, manakala lelaki 6.46.

Media Baharu