fb fb fb fb fb

CPG pengurusan menopaus, bantu golongan wanita lebih yakin

PETALING JAYA, 22 Julai- Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) bagi pengurusan menopaus, satu pencapaian bersejarah dalam landskap kesihatan negara.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, inisiatif tersebut menyediakan strategi pencegahan dan pengesanan awal bagi membantu wanita yang melalui fasa menopaus, lebih bersedia mendepani cabaran itu secara lebih terbuka.

"Garis panduan ini merupakan kerjasama bersama antara Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Menopaus Malaysia bersama-sama Akademi Perubatan Malaysia, merupakan garis panduan penting bagi negara kerana menopaus memberi kesan kepada setiap wanita. Kesihatan semasa wanita selepas menopaus memberi impak besar terhadap kesihatan dan produktiviti ekonomi negara kita.

"Wanita dicipta untuk "menerima" menopaus sebagai proses semula jadi yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan mereka dan ramai wanita menopaus yang dalam kesusahan, segan untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan," kata Khairy selepas berucap menerusi persidangan video maya melancarkan inisiatif berkenaan hari ini, di sini.

Majlis pelancarannya dihadiri lebih 50 doktor pakar dalam Obstetrik dan Ginekologi serta kakitangan perubatan.

Tambah Khairy, selain merintis pengurusan CPG menopaus di Asia Tenggara, ia juga menterjemah komitmen Malaysia untuk meningkatkan penjagaan kesihatan amnya dan kesedaran mengenai menopaus, khususnya.

CPG menopaus tersebut merangkumi pelbagai maklumat tentang gejala menopaus, penilaian dan pemeriksaan klinikal, pilihan rawatan dan kesannya, dan perspektif agama tentang menopaus.

Ia boleh didapati menerusi pelbagai platform termasuk Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia dan Persatuan Menopaus Malaysia.

Ia boleh diakses menerusi perisian Android dan iOS di bawah aplikasi MyMAHTAS.


(Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM)

 

Media Baharu