fb fb fb fb fb

Desa Mall, tarik usahawan luar bandar luaskan perniagaan ke arah digital

GEORGE TOWN, 22 Julai- Usahawan luar bandar disaran berkecimpung dalam program Desa Mall untuk memperluaskan perniagaan menerusi evolusi digital.

Saranan itu diutarakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Menurutnya, aspirasi kerajaan untuk mempelbagaikan lapisan usahawan khusus dari kawasan luar bandar akan memberi impak positif selain turut membawa manfaat luarbiasa.

"Jadi apa yang kita buat melalui program ini ialah kita mahu supaya usahawan luar bandar meneroka bidang digital sebab nak tak nak hari ini semua orang akan pergi kepada era itu. Jadi kita nak mengajar usahawan-usahawan ini bahawa selain daripada platform konvensional yang mereka lalui semua sebelum ini hari ini kita pergi kepada program digital," kata Datuk Che Murad kepada pemberita RTM selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di Bayan Baru.

Tambahnya, perubahan masa perlu menjadi iktibar usahawan luar bandar untuk terus terlibat dalam urusan pendigitalan perniagaan dalam talian pada masa akan datang.

Program Desa Mall merupakan satu strategi kerajaan dalam usaha membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar.


(Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan
menjelaskan perkara itu kepada RTM selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di Bayan Baru)

 

Media Baharu