fb fb fb fb fb

Datuk Suhaimi Mohd Ghazali, Pengerusi LPPKN yang baharu

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Datuk Haji Suhaimi Mohd Ghazali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang baharu berkuat kuasa pada 18 Julai 2022.

Pelantikan baharu tersebut bagi menggantikan Datuk Mohd Nizar Haji Zakaria yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 15 Jun lalu dan lantikan ini sekali gus memahat nama baharu beliau sebagai Pengerusi LPPKN yang ke-12.

Melalui pelantikan ini juga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkeyakinan penuh LPPKN yang baru menyambut ulang tahun ke-56 Jun lalu, akan terus dipacu dengan membawa aspirasi pembangunan keluarga, kajian demografi penduduk dan kesihatan reproduktif termasuk subfertiliti dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.

Datuk Haji Suhaimi Mohd Ghazali, 54, merupakan anak jati Negeri Selangor berkelulusan Sarjana Muda Sains Politik, Universiti California, Amerika Syarikat.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN Dengkil), Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor, Ahli Majlis Perbandaran Sepang dan Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kerajaan Tempatan dan Tanah Rizab Melayu (EXCO) Kerajaan Negeri Selangor.


(Pengerusi LPPKN yang baharu, Datuk Haji Suhaimi Mohd Ghazali menerima watikah pelantikan daripada
Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun)

Media Baharu