fb fb fb fb fb

KPDNHEP Kelantan sita 1,207 kilogram minyak masak paket bersubsidi

KOTA BHARU, 22 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 1,207 kilogram minyak masak paket bersubsidi di Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPDNHEP) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa KPDNHEP yang menjalankan Operasi Bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 7 dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, Pasir Puteh berhubung pencegahan ketirisan barang kawalan di sempadan negara di Kota Bharu.

Dua pegawai KPDNHEP membuat penyamaran di sebuah premis di Pasir Tumboh untuk membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi, namun tidak dijual oleh peruncit terbabit.

Pada pukul 12.45 tengah hari, pasukan operasi menyerbu premis yang dilesenkan itu dan menemukan sejumlah 71 kotak minyak masak paket 1kg bersubsidi.

Siasatan awal mendapati, dia gagal mengemukakan maklumat barang kawalan dimilikinya.

Lelaki tempatan berumur 46 tahun itu mengaku memiliki barang kawalan tersebut dan ia telah berada di premis itu semenjak tiga hari lepas.


(KPDNHEP Kelantan menyita 1,207 kilogram minyak masak paket bersubsidi di Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan)

Minyak masak yang dianggarkan bernilai lebih RM3,000 itu disita.

Manakala pemilik premis akan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 16(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 13 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menyorok barang kawalan atau memusnahkannya serta enggan menjual barang kawalan dan gagal menyelenggara buku stok.

Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang akan dikenakan serta dipertuduhkan di mahkamah.

Jelas Aswadi, kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras ketirisan barang kawalan sentiasa dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan barang kawalan mencukupi dalam pasaran dan dinikmati pengguna.

KPDNHEP akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat.

Media Baharu