fb fb fb fb fb

Laporan Ketua Audit Negara kesan 3 ketakteraturan serius

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Tiga ketakteraturan serius dikesan oleh Jabatan Audit Negara membabitkan program, aktiviti atau projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan RMK12 membabitkan membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM571.92 juta.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 berhubung perkara itu dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, lima pengauditan melibatkan tujuh kementerian dengan kos keseluruhan program, aktiviti atau projek yang diaudit berjumlah RM48.873 bilion dilaporkan.

Menurutnya, rumusan terhadap pengauditan yang telah dijalankan mendapati ketakteraturan serius melibatkan tiga pengauditan iaitu FELCRA Berhad, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM).

2107 NSL LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 1Ketakteraturan serius dikesan membabitkan FELCRA Berhad - Jabatan Audit Negara

"Terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan satu ladang sawit di Sandakan, Sabah dan tiga ladang sawit di Gua Musang, Kelantan oleh FELCRA Berhad melibatkan perolehan berjumlah RM241.76 juta dalam tempoh 2022 hingga 2024.

"Manakala UKM pula membabitkan perolehan perolehan tiga tender bernilai RM58.45 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

2107 NSL LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2Ketakteraturan serius dikesan membabitkan UKM - Jabatan Audit Negara

Beliau berkata, kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan dikesan membabitkan kenderaan perisai TDM, Gempita untuk tempoh 2020 hingga 2023.

2107 NSL LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 3Ketakteraturan serius dikesan membabitkan TDM - Jabatan Audit Negara

"Ini meliputi denda RM162.75 juta yang belum dikutip daripada syarikat kerana kelewatan pembekalan Gempita serta denda berjumlah RM1.42 juta yang belum dikenakan terhadap kelewatan perkhidmatan senggaraan perolehan perkhidmatan senggaraan serta pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai.

"Selain itu, kelewatan juga dikesan dalam perolehan khidmat senggaraan, pembaikan dan alat ganti kenderaan perisai berjumlah RM107.54 juta yang telah dilaksanakan secara pecah kecil,” katanya.

2107 NSL LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 4Kelemahan pelaksanaan yang dikesan membabitkan KPDN - Jabatan Audit Negara

Menurutnya, turut dikesan kelemahan pelaksanaan program subsidi minyak masak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), khususnya kegagalan menyasarkan golongan penerima dan pelaksanaan kuota yang tidak efisien.

"Usaha KPDN untuk mengurangkan kuota bekalan minyak masak bersubsidi sejak 2016 wajar diteruskan. Tindakan tersebut dapat memberikan impak positif dalam usaha membanteras ketirisan melalui pengedaran yang lebih bersasar selaras dengan syor Audit," katanya.

2107 NSL LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 5Kelemahan pelaksanaan yang dikesan membabitkan MOF - Jabatan Audit Negara

Selain itu, Datuk Seri Wan Suraya berkata, pengauditan juga mendapati kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih yang diperkenalkan Kementerian Kewangan mempunyai ruang manipulasi apabila syarikat tidak layak tetap dipilih ke peringkat akhir.

“Syor Audit supaya kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak wajar diteruskan dan kaedah perolehan tender terbuka adalah lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses perolehan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata audit yang dilaksanakan bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025 telah membantu kerajaan mendapatkan bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, termasuk melalui kutipan penalti, cukai dan denda.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK