fb fb fb fb fb

Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh autonomi dan demokrasi negara

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bermula hari ini/ Foto FB Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Sistem demokrasi negara terus diperkasa menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekali gus menjadi titik penting dalam usaha mengembalikan autonomi institusi Parlimen.

Jelas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul, ia seterusnya memperkukuh prinsip pemisahan kuasa.

"Akta Perkhidmatan Parlimen telah mengembalikan autonomi institusi Parlimen Malaysia, memperkasa demokrasi, dan memperkukuh prinsip pemisahan kuasa."

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Yang Berhormat yang telah bersama-sama menyokong pewujudan akta ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pembukaan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, di Parlimen, pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 20 akta telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat yang lalu, termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) 2025.

Selain itu, sembilan Rang Undang-Undang (RUU) turut diluluskan dalam sidang Dewan Negara lalu, termasuk RUU Iltizam Kecekapan Tenaga Perkhidmatan Kerajaan 2025.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI