fb fb fb fb fb

Lapangan terbang bertaraf antarabangsa mampu rancakkan ekonomi Perak

(Lapangan terbang Perak/Gambar Fail)

IPOH, 25 Mac - Terdapat keperluan membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata usaha itu bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di negeri itu.

Justeru, satu rundingan bersama Kementerian Pengangkutan perlu dilakukan bagi membincangkan perkara tersebut.

(Datuk Seri Saarani Mohamed bercakap dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-215
peringkat negeri di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta)

"Kalau kita nak menaiktaraf lapangan terbang sedia ada kita perlu memanjangkan landasan. Kalau nak panjangkan landasan itu bermakna ada deretan rumah di hadapan landasan itu terpaksa kita buat pengambilan dan dirobohkan, itu ambil kos sangat tinggi.

"Walau apa pun kita akan tetap cari jalan untuk menyediakan tapak bersesuaian bagi pembinaan sebuah lapangan terbang baharu yang bertaraf antarabangsa," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, di sini

Tambahnya, perancangan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar di atas tanah seluas 3,000 ekar sebelum ini tertangguh selepas peralihan kerajaan.

Dalam pada itu, bercakap mengenai Pembangunan Automative High Technology Valley (AHTV), Saarani berkata perbincangan lanjut akan dibuat antara kerajaan negeri Perak serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam masa terdekat.

AHTV dirancang dibina di Proton City, Tanjung Malim yang bakal menjana pelaburan 32 billion ringgit.

Katanya, apabila siap kelak ia bakal memberi manfaat kepada penduduk dan menyokong pertumbuhan ekonomi Wilayah Perak Selatan.

(Proton City di Tanjung Malim/Gambar Fail)

"Kita faham itu adalah proses penutupan sepenuhnya kilang proton di Shah Alam dan mereka berpindah sepenuhnya ke Tanjung Malim.

"Perbincangan sedang dibuat. Pihak negeri pun perlu membuat persiapan. Difahamkan PM akan datang ke Tanjung Malim dalam masa terdekat dan mungkin kita akan dikunjungi oleh MITI untuk kita bincang," katanya.

Sabtu lalu, pelaburan baharu bagi membangunkan AHTV tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pelaburan DRB-Hicom itu bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan dan 161,000 ketika fasa operasi.

Media Baharu