IPOH, 25 Mac - Perak mengulangi pendirian bahawa bekalan air di negeri itu hanya terhad untuk kegunaan rakyat di dalam negeri.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa kajian berhubung penggunaan air di negeri tersebut.
Antaranya impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan janakuasa elektrik dan kegunaan sektor perkilangan.
"Bukan bermakna kerajaan negeri Perak tidak bersimpati dengan Pulau Pinang. Kita memahami masalah mereka.
"Tetapi dalam kajian yang telah dibuat oleh teknikal department. yang dibuat oleh Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Perikanan, JPS menunjukkan bahawa air sungai Perak itu cukup untuk kegunaan dalam negeri sahaja," katanya.
Datuk Seri Saarani bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, di sini.
Berdasarkan Kajian Sumber Air 2010-2050 (Perunding Zaaba 2008), negeri-negeri di utara Semenanjung akan mengalami masalah kekurangan bekalan air menjelang tahun 2050.