KOTA BHARU, 25 Mac - Kelantan membenarkan solat fardu, solat Jumaat dan solat Tarawih tanpa penjarakan fizikal di semua masjid, surau dan musalla di negeri tersebut berkuat kuasa 1 April ini.
Ia diperkenankan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas atau umum dan ihya Ramadan juga dibenar beroperasi tanpa penjarakan fizikal.
(Foto Hiasan)
Manakala penyedian jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur hanya dibenarkan secara bungkus yang diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.
Hanya jemaah tidak bergejala COVID-19 dibenarkan hadir.
Jemaah wajib memakai pelitup muka dan membawa sejadah masing-masing serta tidak dibenar bersalaman.
SOP lain yang dikeluarkan sebelum ini kekal dilaksana selaras nasihat Kementerian Kesihatan.
Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya gagal mematuhi SOP.