KANGAR, 25 Mac - 'Duta Komuniti Keluarga Malaysia' yang berkonsepkan kesukarelawan dilancarkan hari ini.
Ia bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan (GP) terjaga sepanjang negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang berkonsepkan kesukarelawan itu bermatlamat untuk membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.
"Duta Komuniti ini akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup. Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan - santun apabila membuat teguran," katanya ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di sini.
Tambah Ismail, program tersebut diyakini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.