fb fb fb fb fb

Lapan PPS dibuka di Kelantan pagi tadi

Penduduk terjejas banjir dibawa ke PPS

KUALA KRAI, 14 Disember- Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan pagi tadi susulan hujan berterusan sejak semalam.
 
Ia membabit dua jajahan di negeri berkenaan iaitu Kuala Krai dan Tanah Merah yang menempatkan 277 penduduk terjejas banjir daripada 72 keluarga setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.

Menurut infoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh PPS dibuka di jajahan Kuala Krai menempatkan seramai 266 penduduk terjejas banjir daripada 68 keluarga.
 
Ia membabitkan PPS Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A, Sekolah Kebangsaan Chenulang dan Madrasah Kampung Sepuluh.
 
Sementara itu, berdasarkan laporan Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, 11 penduduk terjejas banjir daripada empat keluarga membabitkan jajahan tersebut dipindahkan ke PPS SK Kelewek berikutan kediaman mereka dinaiki air susulan banjir kilat.
 
Menurut laman sesawang publicinfobanjir JPS, tiga sungai utama di negeri Kelantan berada pada aras melebihi tahap amaran iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli, Sungai Nal di Kampung Sungai Nal (Kuala Krai) dan Sungai Kelantan (Machang).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI