fb fb fb fb fb

Lapan ditahan dipercayai terlibat dengan Daesh, IS

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 24 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan seorang bekas pensyarah antara lapan individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai terlibat dengan elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini dalam operasi serentak di empat negeri pada 22 dan 23 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penahanan enam lelaki dan dua wanita itu disyaki berkait dengan elemen radikalisme Daesh dan Islamic State (IS).

Kesemua suspek berusia 25 hingga 70 tahun ditahan di Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Selangor selama 28 hari.

Mereka ditahan berpandukan Kesalahan Berkaitan Keganasan dalam Kanun Keseksaan.

Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

"Siasatan awal PDRM terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi PDRM.

"Mereka mempunyai kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Saifuddin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini.

"Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini," katanya.

Susulan itu beliau mengingatkan agar rakyat Malaysia terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu oleh golongan ini yang menyalahgunakan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang membahayakan.

"Orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta badan bukan kerajaan, pihak swasta dan semua pihak berkerjasama menggembeleng usaha bagi bersama-sama menangani ancaman ini daripada menggugat perpaduan dan keamanan negara tercinta.

"Kerajaan memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini," katanya.

Tambahnya, ini didorong kecekapan dan ketangkasan pihak polis menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan di peringkat awal.

GRACE AISYAH KEDAYAN