KUALA LUMPUR, 25 November - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah proaktif, termasuk memperkasa aktiviti pengembangan di lapangan, bagi memastikan teknologi serta maklumat terkini dapat disampaikan secara berkesan kepada pesawah dan komuniti pertanian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, melalui pendekatan itu, pesawah dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kerugian hasil akibat perosak atau cuaca ekstrem, dan mengamalkan pengurusan sawah lebih cekap.
"Langkah-langkah ini termasuk memberi pendedahan mengenai pengurusan risiko penyakit berkaitan iklim dengan menggalakkan amalan pertanian lestari serta pengurusan sawah yang cekap. Selain itu, Kolam Takungan Parit 4 di Sungai Haji Dorani dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti simpanan air dan menjamin kelestarian bekalan pengairan sawah padi.
"Sistem pengairan dan saliran pertanian di Peket 20, kawasan Skim Pengairan Panchang Bedena (Sungai Haji Dorani) serta Sungai Nipah turut dinaik taraf bagi memastikan kecekapan agihan air dan mengurangkan risiko gangguan bekalan kepada pesawah," katanya.
Jawapan itu bagi memberi penjelasan soalan daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi yang ingin mengetahui langkah KPKM bagi menangani hasil sawah yang rendah, kebanjiran warga asing serta isu tanaman kontan di sawah padi terutama beberapa lokasi di Tanjong Karang.
Kemerosotan hasil padi turut disumbang serangan perosak seperti ulat pengorek batang dan bena perang, fenomena kemarau, fenomena cuaca ekstrem dan kebergantungan sepenuhnya kepada Sungai Bernam sebagai sumber bekalan air utama.
Dalam pada itu berhubung isu kebanjiran warga asing, KPKM tidak menafikan terdapat warga asing yang diupah oleh pemilik tanah bagi melaksanakan kerja-kerja seperti menabur benih, membaja, meracun, menuai serta mengusahakan tanaman kontan di kawasan sawah.
Berkenaan isu tanah, Datuk Seri Mohamad memaklumkan ia adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri.