YAN, 25 November - Seramai 30,001 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah di 285 pusat peperiksaan di negeri itu meskipun beberapa kawasan dilanda banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, setakat malam tadi, seramai 74 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas banjir di tiga daerah di Kedah telah ditempatkan di asrama sekolah dan rumah saudara masing-masing bagi menduduki peperiksaan itu.
Ia melibatkan 60 calon di Daerah Kubang Pasu; lapan calon di Kulim Bandar Baharu dan enam calon di Padang Terap.
Pihaknya juga telah mengenal pasti 79 sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berisiko banjir, yang melibatkan seramai 921 calon.
Ia melibatkan 400 calon di 22 pusat peperiksaan di Alor Setar; 145 calon di Padang Terap; 125 calon di Kulim Bandar Baharu; 90 calon di Kubang Pasu; 59 calon di Pendang; 49 calon di Yan; 34 calon di Baling; 13 calon di Sik; dan enam calon di Kuala Muda.
"Setiap sekolah berisiko telah diarahkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Op Payung dengan menyediakan pelan operasi kecemasan dan mengemas kini maklumat laluan keluar serta pusat pemindahan sementara yang berhampiran.
"Sebagai negeri yang sering berhadapan ujian banjir terutama pada musim Monsun Timur Laut, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah telah melaksanakan beberapa langkah persediaan," kata Abdul Rahim Mat.
Antaranya, Penetapan Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) yang disediakan khusus untuk menempatkan calon jika pusat asal tidak dapat beroperasi akibat banjir.
Selain itu, pengaktifan Jawatankuasa Op Payung serta Pasukan Tindakan Bencana Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang bertanggungjawab memastikan komunikasi antara sekolah, daerah dan negeri berjalan lancar termasuk tindakan segera pemindahan calon dan bahan peperiksaan.
"Penyediaan aset kecemasan melibatkan kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Kedah dan polis serta lain-lain agensi termasuk penggunaan bot, lori tinggi, dan kenderaan pacuan empat roda," katanya lagi.
Pemantauan cuaca secara masa nyata turut dilakukan melalui laporan harian menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), pusat operasi bencana daerah dan jawatankuasa sekolah.