LABUAN, 25 November - Seramai 1,354 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 di Labuan, termasuk calon sekolah swasta dan calon persendirian.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata, calon berkenaan menduduki peperiksaan di 14 buah pusat peperiksaan di seluruh wilayah itu.
"Jabatan Pendidikan Labuan turut menubuhkan pusat gerakan di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan bagi memastikan kesiapsiagaan serta memantau dari semasa ke semasa perubahan cuaca, khususnya keadaan angin dan hujan di Labuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan persiapan pelajar menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha di sini.
Seramai 110 petugas peperiksaan terdiri daripada guru dan pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
Kementerian Pendidikan (KPM) cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit.
Kementerian itu bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dengan mengaktifkan Op Payung bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.
Ia melibatkan kerjasama dengan agensi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, calon peperiksaan dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan disebabkan oleh bencana.
KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.