fb fb fb fb fb

Langkah komprehensif dilaksana, tingkat tahap keselamatan infrastruktur di JRTB

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kerajaan memberi jaminan melaksanakan langkah komprehensif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan tahap keselamatan infrastruktur di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) dari Gerik ke Jeli, susulan beberapa kemalangan maut termasuk insiden membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, syarikat konsesi telah melaksanakan tindakan segera termasuk penampalan jalan serta kerja kecemasan lain di kawasan berisiko kemalangan.

"Bagi penyelesaian jangka masa pendek, syarikat konsesi telah melaksanakan beberapa tindakan segera di sepanjang Jalan Raya Timur Barat dari Gerik ke Jeli dengan melaksanakan penampalan jalan. Setiap pothole yang ditemui melalui rondaan rutin atau aduan awam akan ditampal dan dibaiki segera dalam tempoh 24 jam.

Katanya, bagi penyelesaian jangka masa sederhana, kerajaan telah meluluskan projek Pembaikan Struktur Turapan Jalan di laluan FT004 dari Gerik ke Jeli dengan kos RM100 juta, yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

"Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pembaikan Struktur Turapan Jalan di Lebuh Raya Timur-Barat dari Seksyen 83.74 ke Seksyen 198.40 Hulu Perak dengan kos sebanyak RM100 juta pada tahun 2024. Projek ini telah bermula sejak tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026", katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

ROSLINA BINTI DIN