KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos nanti, bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Astro Audio dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bergandingan buat pertama kali, membawakan siaran luar secara langsung kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kerjasama yang menggabungkan lima stesen radio RTM dan lima stesen Astro Audio dalam sebuah program istimewa akan disiarkan serentak dari Dataran Putrajaya; menampilkan kandungan dalam empat bahasa utama tanah air yang menjadi simbol kepada kepelbagaian dan kekuatan perpaduan rakyat Malaysia.
Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran berkata, inisiatif tersebut lahir daripada hasrat untuk keluar dari ‘kepompong’ penyiaran masing-masing, seterusnya meraikan semangat kebangsaan secara bersama.
“Biasanya kita hanya buat di platform Astro sahaja, tetapi kali ini kita bergabung dengan RTM kerana mahu menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia. Pendengar akan mendengar feed yang sama, lagu yang sama dan perbualan dalam empat bahasa berbeza.
"Inilah keunikan kita sebagai rakyat Malaysia, kerana walaupun bahasa berbeza, mesejnya tetap difahami iaitu semangat menyatukan rakyat,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Lebih menarik, siaran langsung itu bukan sahaja akan memberi liputan perarakan Hari Kebangsaan termasuk kontinjen yang mengambil bahagian, malah turut diselitkan dengan segmen santai seperti bual bicara mengenai makanan, kenangan zaman sekolah serta lagu-lagu Malaysia yang dekat di hati pendengar.
Menurut Priya, walaupun perancangan jangka panjang masih dalam peringkat awal, pihaknya berharap kerjasama tersebut boleh diperluaskan dengan menyatukan lebih banyak stesen radio di Malaysia pada masa depan.
“Harapan kami adalah untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa stesen radio di negara ini tidak bersaing, sebaliknya bersatu demi satu tujuan menzahirkan cinta kepada negara,” ujarnya.
Kerjasama yang julung kali diadakan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan, malah menjadi simbol perpaduan dua nama besar penyiaran tanah air dalam memupuk semangat patriotik serta menyatukan rakyat Malaysia melalui bahasa, budaya dan muzik.