KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Aplikasi MyGOV Malaysia (MyGOV) dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh pegawai di Jabatan Digital Negara tanpa penglibatan syarikat asing.
Pendekatan itu bagi menjamin keselamatan data rakyat kekal di bawah kawalan kerajaan.
Jelas Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, MyGOV turut didaftarkan dibawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
"Mulai 20 Ogos 2025, MyGOV telah didaftarkan sebagai sebahagian daripada NCCI. Daripada aspek keselamatan, MyGOV turut berada dalam pemantauan NCPO dan sebarang insiden keselamatan akan dimaklumkan lebih awal kepada pihak terlibat.
"Jumlah kos pembangunan aplikasi ini adalah sifar kerana ia dibangunkan secara dalaman oleh pegawai di Jabatan Digital Negara kementerian menggunakan platform serta infrastruktur sedia ada.
"Oleh itu, tiada syarikat asing yang terlibat dalam pembangunan aplikasi tersebut," katanya.
Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat di sini.
MyGOV merupakan platform digital bersepadu kerajaan yang dilancar bagi menghimpunkan pelbagai perkhidmatan awam dalam satu aplikasi.