fb fb fb fb fb

Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 capai 80 peratus

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kementerian Komunikasi memaklumkan persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya kini sudah mencapai tahap 80 peratus, dengan baki penyelarasan teknikal dijangka selesai menjelang acara kemuncak pada 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, raptai penuh bermula hari ini sehingga 28 Ogos, manakala 30 Ogos tiada sebarang latihan bagi memberi ruang persiapan akhir.

“Baki 20 peratus persiapan melibatkan penyelarasan teknikal termasuk sistem telekomunikasi, rakaman serta siaran langsung televisyen. Tahun ini, kita sekali lagi bekerjasama dengan Astro bagi memastikan kelancaran liputan,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

Beliau berkata, sambutan kali ini turut menampilkan beberapa kelainan dengan penyertaan 2,000 peserta 'koir human grafik' serta 1,000 pelajar daripada sekolah-sekolah Permata Seni dalam persembahan tarian.

“Faktor ‘wow’ paling ditunggu-tunggu ialah persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bakal menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan 2025 bertajuk Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni,” ujarnya.

Mano turut mengajak seluruh rakyat Malaysia hadir memeriahkan sambutan di Putrajaya yang bakal diserikan dengan perarakan aset kerajaan, persembahan khas dan acara rakyat.

“Kita telah sediakan kira-kira 15,000 ruang parkir serta perkhidmatan bas pengantara dan teksi air bagi memudahkan pengunjung. Hadirlah bersama keluarga untuk merasai pengalaman unik menyambut Hari Kemerdekaan secara fizikal, sambil menjaga kebersihan kawasan acara,” katanya lagi.

ROSLINA BINTI DIN