
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kesesuaian lokasi, keperluan teknikal dan penilaian kos kitaran hayat menjadi tiga faktor utama yang dipertimbangkan kerajaan sebelum melaksanakan pemasangan lampu jalan solar bagi menggantikan tiang lampu lama yang rosak.
- Pelaksanaan bersasar sesuai untuk kawasan pedalaman dan lokasi kerap berlaku vandalisme serta kecurian kabel.
- Pendekatan ini mengurangkan keperluan pembinaan infrastruktur elektrik baru dan memudahkan penyelenggaraan di kawasan tertentu.
- Bateri paling kerap memerlukan penggantian, sehingga 60 peratus kos peralatan; kementerian terus menilai aspek teknikal, penyelenggaraan dan keberkesanan kos.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan lampu jalan solar lebih sesuai dilaksanakan secara bersasar terutama di kawasan pedalaman serta lokasi yang sering berlaku vandalisme dan kecurian kabel.
“Pendekatan itu dapat mengurangkan keperluan pembinaan infrastruktur bekalan elektrik baharu selain memudahkan aspek penyelenggaraan di kawasan tertentu.
“Bagi kawasan yang mempunyai bekalan elektrik sedia ada, gantian ini masih menjadi pilihan yang ekonomik kerana kos pemasangan lampu solar adalah lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai kesediaan kerajaan menggunakan lampu jalan solar bagi menggantikan tiang lampu lama yang rosak dan sukar diselenggara, pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Tambah Nanta, bateri merupakan komponen yang paling kerap memerlukan penggantian dengan kosnya mencecah sehingga 60 peratus daripada harga keseluruhan kelengkapan lampu solar.
Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya akan terus menilai penggunaan lampu jalan solar berdasarkan aspek teknikal, penyelenggaraan, keberkesanan kos serta penerapan teknologi hijau bagi memastikan manfaat optimum kepada pengguna.