
MATA AYER, 3 Ogos – Semangat patriotik dan kebersamaan komuniti terus disemarakkan apabila lebih 50 kampung di kawasan Pokok Sena, Mata Ayer menyertai Program Jiwa Komuniti Madani anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perlis sempena Bulan Kemerdekaan.
- Memperkukuh hubungan masyarakat setempat dan menyemai kebanggaan terhadap Jalur Gemilang.
- Menyuburkan semangat patriotik dan kecintaan kepada negara menjelang sambutan kemerdekaan.
- Penceramah dari UUM berkongsi tatacara pemasangan Jalur Gemilang dan pentingnya memupuk patriotik generasi muda.
- Kempen pemasangan Jalur Gemilang dijalankan sebagai aktiviti tahunan untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan di peringkat komuniti.
Pengisian program yang berteraskan penghayatan kemerdekaan itu menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat setempat, selain menyemai rasa bangga terhadap Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara.
Menurut Pengerusi Komuniti Madani Kampung Pokok Sena, Mohd Nor Ismail, program berkenaan dilaksanakan bagi menyuburkan semangat patriotik dan kecintaan kepada negara dalam kalangan penduduk, khususnya menjelang sambutan Kemerdekaan Ke-69.
“Aktiviti penghayatan kemerdekaan seperti itu turut memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat melalui penglibatan bersama mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya pada Program Jiwa Komuniti Madani: Sembang Santai di Kampung Pokok Sena, di sini.
Menerusi program itu, Profesor Madya Dr. Kamarul Azman Khamis dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut berkongsi mengenai tatacara pemasangan Jalur Gemilang sempena Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, selain menyentuh kepentingan memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi masa kini.
Turut diadakan kempen pemasangan Jalur Gemilang di sekitar Kampung Pokok Sena yang menjadi aktiviti tahunan bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan di peringkat komuniti.