fb fb fb fb fb

Lambakan maklumat tidak ditapis cetus penyebaran hadis palsu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 September - Kemunculan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) membawa cabaran baharu dalam mempelajari hadis apabila lambakan maklumat tidak ditapis boleh mencetus penyelewengan serta penyebaran hadis palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, teknologi seharusnya dijadikan sebagai alat bantu, bukannya menggantikan proses pendidikan hadis yang menekankan disiplin bertalapi, bersanad dan beretika.

"Dalam era digital masa kini termasuk kemunculan teknologi kecerdasan buatan, terdapat cabaran besar dalam mempelajari hadis. Antaranya lambakan maklumat tidak ditapis sehingga mendedahkan masyarakat kepada penyelewengan dan kewujudan hadis-hadis palsu.

"Teknologi wajar dijadikan alat bantu, bukan menggantikan proses pendidikan secara bertalapi, bersanad dan beretika,” katanya.

Beliau berucap ketika menyempurnakan Majlis Khatam Pengajian Hadith 40 Imam al-Nawawi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Program itu menjadi penutup siri daurah pengajian intensif sejak Januari lalu melibatkan 13 siri, sekali gus memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, ukhuwah dan simbol perpaduan umat Islam.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail serta pimpinan agensi agama wilayah persekutuan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD