fb fb fb fb fb

Kerajaan laksana CCTV berteknologi tinggi di pusat tahanan APMM dan AADK

Kerajaan memberi perhatian serius dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terus terjamin / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 26 September – Kerajaan memberi perhatian serius dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terus terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 yang dipengerusikan beliau pada Khamis.

Menurutnya, mesyuarat bersetuju melaksanakan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS). Ia memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan dalam menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan di kawasan tahanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan kerajaan memandang serius insiden pencerobohan bot nelayan asing yang berulang di perairan negara.

Katanya, isu berkenaan bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, malah menyebabkan ketirisan hasil laut sehingga menjejaskan ekonomi serta sumber rezeki nelayan tempatan.

“Atas keprihatinan dan pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya perkara ini ditangani melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat,” jelasnya.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui mencerminkan iltizam kerajaan memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara, selain mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN