fb fb fb fb fb

EU optimis perjanjian Perdagangan bebas ASEAN dimuktamad 2027

Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maroš Šefčovič /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 September – Kesatuan Eropah (EU) optimis rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia, dapat dimuktamadkan menjelang ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN–EU pada 2027.

Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maroš Šefčovič berkata, rundingan FTA bersama Thailand, Filipina dan Malaysia kini menunjukkan kemajuan yang positif dengan sokongan bukan sahaja di peringkat politik, malah turut menerima dorongan kukuh daripada komuniti perniagaan.

“Kami telah mengadakan pertemuan penting di sini, bukan sahaja di peringkat politik tertinggi, tetapi juga bersama komuniti perniagaan.

"Saya mencadangkan kepada rakan sejawat saya bahawa cara terbaik meraikan ulang tahun hubungan dialog ASEAN–EU adalah dengan memuktamadkan semua perjanjian perdagangan bebas ini menjelang tarikh tersebut,” katanya  pada sidang media sempena Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025, pada Khamis.

Sidang kemuncak itu berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.

"Kami telah mengadakan pertemuan penting di sini bukan sahaja di peringkat politik tertinggi, tetapi juga seperti yang saya sebutkan, bersama komuniti perniagaan.

"Dan sudah tentu saya mencadangkan kepada rakan sejawat saya bahawa cara terbaik untuk meraikan ulang tahun hubungan dialog antara ASEAN dan Kesatuan Eropah adalah dengan memuktamadkan semua perjanjian perdagangan bebas ini menjelang tarikh tersebut", katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025, hari ini.

Tambahnya, kesemua perjanjian perdagangan bebas berkenaan akan memperkukuh lagi hubungan ASEAN dan Eropah, serta membuka peluang baharu dari segi pelaburan, perdagangan dan penciptaan pekerjaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perundingan ke-21 Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bersama Pesuruhjaya Perdagangan EU menzahirkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang telus, bebas, adil, inklusif dan mampan.

Berdasarkan data awal ASEAN, perdagangan barangan dua hala ASEAN–EU berjumlah USD292.8 bilion pada 2024, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari EU ke ASEAN mencecah USD20 bilion pada tahun yang sama. Angka ini menempatkan EU sebagai rakan dagangan ketiga terbesar ASEAN dan sumber kedua terbesar FDI ke rantau ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD