fb fb fb fb fb

Laksana ekosistem dan pembudayaan digital, tingkat kualiti pembelajaran

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama-sama pelajar dalam Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad

ARAU, 26 April - Pelaksanaan ekosistem pendigitalan dan pembudayaan digital dalam pendidikan dan pembelajaran di sekolah merupakan peluang besar untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan kecemerlangan pelajar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelajar perlu memanfaatkan setiap kemudahan yang disediakan terutamanya penggunaan aplikasi dan perisian seperti Microsoft Powerpoint, flash, video, visual dan sebagainya.

Ini bagi menjadikan proses pembelajaran seharian itu lebih mudah, padat dan berkesan kerana gambaran dan persembahan yang menarik serta mudah untuk difahami.

"Setiap pelajar juga perlu melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah serta bergerak seiring dengan matlamat yang ingin dicapai kerana masing-masing memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang negara dan menjadi harapan dalam membangun masa depan yang gemilang dalam demokrasi negara," titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad melibatkan seramai 536 pelajar.

SMK Syed Ahmad telah melakar pelbagai kejayaan membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang 2022 hingga 2023.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian bilik seminar Al-Bukhari sekolah ini yang akan berfungsi sebagai ruangan serbaguna untuk menjalankan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Program tersebut dianjurkan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

TETITIA YUSOFF