LABUAN, 26 April- Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan Labuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
"Tiga 'task force' menjadi keutamaan pihaknya. Ia membabitkan pelancongan.
"Ia merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Labuan sebagai destinasi pelancongan luar negara dan mempromosikan produk tempatan di sini.
"Selain itu, jambatan Labuan-Menumbok juga masih menjadi agenda kerajaan setelah melihat kepentingannya kepada ekonomi Labuan, selain meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal memandangkan wilayah ini merupakan hab perkapalan dan industri minyak dan gas.
"Bagaimanapun, elektrik dan air yang merupakan perkara asas dan membelenggu rakyat Labuan menjadi fokus utama kami untuk diselesaikan, sama ada melalui pelan jangka masa pendek mahupun panjang," katanya pada Majlis Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama Penggiat Media Labuan di sini.