(Foto Bernama)
LAHAD DATU, 4 September- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar masyarakat di Lahad Datu dan Tawau mempelbagaikan jenis tanaman di kawasan masing-masing.
Titah baginda, ia bukan sahaja mampu memberi khasiat kesihatan, malah dapat menambah sumber pendapatan hasil jualan.
"Tanaman seperti yang dinyatakan Raja Permaisuri Agong...kerana itu adalah hasil, boleh kita jual dengan harga berpatutan.
"Sebab itulah saya bersyukur kerana dapat juga sempat merasa makan durian kampung yang lagi sedap...lebih daripada Musang King," titah Seri Paduka.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Bersama Kira-kira 1,000 Masyarakat Lahad Datu bersempena Program Kembara Kenali Borneo, di Dewan Perdana Lahad Datu, di sini malam ini.
Daerah Lahad Datu merupakan destinasi kedua persinggahan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selepas Daerah Tawau.
Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Sandakan bagi lawatan ke Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, esok.
(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertitah pada
Majlis Santapan Bersama Masyarakat Lahad Datu di Dewan Perdana malam ini/Foto Bernama)