(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Isteri Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail hadir pada program 'Santai Bersama Anwar'/Foto Bernama)
JAKARTA, 4 September- Hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia bukan sahaja dalam bidang diplomatik dan ekonomi malah melangkaui bidang seni budaya, seiring dengan konsep Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian kepada media selepas menghadiri program bersama pempengaruh dan selebriti, di sini.
Program 'Santai Bersama Anwar' dihadiri seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Melly Goeslow dan suami Anto Hoed, Mulan Jameelah, Selvi Kitty, Kartika Putri, Habib Usman, Iman Tang dan artis Malaysia Fazura.
"Seperti mana dalam negara MADANI ini, pemerkasaan ekonomi, budaya, seni...jadi selain daripada bicara soal kerjasama dua hala diplomatik dengan Presiden Jokowi, kita juga berbicara dengan pengusaha dan pelabur.
"Saya dapat satu penghormatan kerana seniman, seniwati dan 'influncer' terkemuka Indonesia, dapat kesempatan bersama dan saya manfaatkan juga dari pengalaman mereka, cadangan untuk bukan sahaja hubungan dua hala tetapi mengajar saya tentang erti pemerkasaan seni budaya," kata Anwar, di sini pada Isnin.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Sementara itu, selebriti yang ditemui gembira dengan pertemuan yang diadakan.
Ia sekali gus dapat menjadi medium buat mereka memberikan cadangan dan harapan kepada Perdana Menteri mengenai industri seni untuk kedua-dua negara.