fb fb fb fb fb

Dana RM20 juta untuk anak FELDA bina rumah di lot generasi - PM

BERA, 14 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu FELDA.

Ini bagi membantu generasi baharu dalam memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi terlibat.

“Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan,” kata Ismail Sabri semasa berucap sempena Sambutan Hari Peneroka Felda, Peringkat Kebangsaan di Padang Awam Felda Rentam, disini.

Sebelum itu, beliau mengumumkan berita gembira untuk generasi generasi baharu FELDA yang ingin bermastautin di kawasan rancangan menerusi projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut,” kata Ismail Sabri.

Jelasnya, sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit sekali gus mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja.

Mengenai baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, kata perdana menteri FELDA akan meneruskan projek tersebut melalui inisiatif pembiayaan swasta, iaitu pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada FELDA.

Projek rintis akan dilaksanakan di FELDA Bukit Aping Timur dan FELDA Pasak di Johor serta FELDA Chiku 5 di Kelantan.

Selain itu kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mampan dengan pengenalan inisiatif lot generasi FELDA.

“Sehingga kini, sebanyak 8,670 unit lot generasi telah dikenal pasti termasuk 3,200 unit yang telah saya umumkan di Johor pada bulan Mac lalu. Buat masa ini, inisiatif ini akan dilaksanakan di neger Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. Di Parlimen Bera ini sahaja, sebanyak 250 lot telah dikenal pasti iaitu di FELDA Kumai dan FELDA Triang 1,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata peningkatan mobiliti sosial warga FELDA melalui pemerkasaan insiatif-inisiatif pendidikan turut diberi perhatian.

Selaras itu, Ismail mengumumkan pertukaran program Premier di MRSM FELDA kepada Program Ulul Albab.

(Foto fail)

"Program Ulul Albab ini akan dilaksanakan bermula pada tahun akademik 2023 dan akan mengintegrasikan program pendidikan sedia ada dengan program aliran agama termasuk tahfiz al-Quran.

"MRSM FELDA akan menjadi MRSM kelapan yang melaksanakan program ini dan bakal melahirkan generasi baharu FELDA yang cemerlang dalam bidang profesional yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah," kata Ismail di sini.

Dalam pada itu katanya, infrastruktur di kawasan FELDA dilihat antara yang terbaik lantas menempatkan rancangan-rancangan FELDA sebagai komuniti contoh luar bandar.

Ini dapat dicapai menerusi pelbagai dana dan inisiatif bagi menyediakan infrastruktur yang terbaik buat warga FELDA.

"Sempena ulang tahun penubuhan FELDA yang ke-66 tahun ini, saya ingin umumkan lagi peruntukan khas sebanyak RM66,000 bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21 juta.

"Saya juga ambil maklum kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan oleh warga peneroka sekalian dalam memperindah rancangan masing-masing bagi meraih anugerah yang paling dinanti-nantikan – Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF)," Ismail turut mengumumkan hadiah tempat pertama AKRF kini dinaikkan daripada RM500,00 kepada RM1 juta.

Ini sebagai penghargaan atas kesungguhan warga FELDA dan beliau berharap inisiatif itu menjadi pembakar semangat kepada warga FELDA untuk menjaga keceriaan dan keindahan kawasan rancangan di samping memupuk komuniti yang bersatu padu.

Tema sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan kali ini adalah ‘Kejayaan Dalam Keberkatan’.

Media Baharu