KUALA LUMPUR, 10 Januari - Sejumlah RM282 juta zakat fitrah dan zakat harta berjaya dikutip Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tahun lalu dengan jumlah pembayar seramai 1.1 juta orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, prestasi kutipan zakat dilihat meningkat berbanding tahun lalu meskipun situasi Covid 19 memberi kesan besar kepada masyarakat dan juga ekonomi negara.
Jumlah kutipan zakat harta meningkat sebanyak sembilan peratus kepada RM817 juta bagi 2021 manakala zakat fitrah meningkat 10% kepada RM12 juta.
"Sepanjang tahun 2021 pihak MAIWP telah mengambil langkah yang amat proaktif melaksanakan program agihan terutama dalam tempoh pandemik Covid 19 dan bencana alam secara langsung meningkat keyakinan kepada pembayar dan bakal pembayar untuk membuat bayaran kepada PPZ MAIWP."
"Ini yang saya tekankan sangat, pelan komunikasi supaya ditunjukkan bagi memberikan satu keyakinan berkenaan dengan apa yang kita buat. Jadi salah satu, untuk kita memasarkan kepada orang ramai mengenai prestasi dan keyakinan kepada kita," tambah Idris.
Menurutnya, turut menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat adalah kepelbagaian saluran bayaran zakat seperti perkhidmatan Kaunter Zakat Digital, Portal PPZ- MAIWP, aplikasi MyZakat, Mytemujanji, Door to Door Servis dan sebagainya.
Beliau ditemui pada Majlis Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat di Wilayah Persekutuan 2021 di Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain beliau juga turut menggesa PPZ-MAIWP memperkasakan bidang pendidikan terutama bagi penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan memerlukan antaranya menyediakan kemudahan Wi-Fi untuk memudahkan pembelajaran anak-anak secara dalam talian.