fb fb fb fb fb

Kutipan wakaf PPZ-MAIWP meningkat 12 peratus, lebih RM4.5 juta kutipan diterima

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Setakat Januari hingga Julai tahun ini, kutipan wakaf Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencecah hampir RM4.6 juta dengan jumlah pewakaf seramai hampir 15,000 orang. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kutipan telah meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023. 

"Walaupun ada peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun lepas tetapi jumlah kutipan ataupun sumbangan wakaf itu masih lagi kecil, banyak perkara yang kita boleh buat dengan sumbangan wakaf yang diberikan masyarakat.

"Jadi saya menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan bagi memberikan sumbangan wakaf mereka kepada ppz PPZ-MAIWP, semoga dengan sumbangan wakaf itu lebih banyak projek dan pembangunan akan dapat dilakukan,"kata Na’im.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Surau Al Marjan di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda Kuala Lumpur yang telah siap dibina pada Disember tahun lalu. 

Katanya, surau tersebut dibina hasil kutipan wakaf tunai khas yang memberi manfaat kepada hampir 1,500 pelajar dan guru guru di sekolah tersebut untuk beribadah dan menjalankan aktiviti kerohanian. 

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus berwakaf bagi memperoleh ganjaran pahala yang berterusan disamping dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

TETITIA YUSOFF