fb fb fb fb fb

Serah laporan kepada SMEIPA, elak pembaziran sumber kerajaan - Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Setiap kerajaan negeri, kementerian dan agensi pelaksana inisiatif keusahawanan dan pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) wajib membuat pelaporan pencapaian program.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan itu perlu diserahkan kepada Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).

Pihaknya turut memberi masa dua minggu bermula hari ini untuk menyelesaikan laporan berkenaan sebelum tindakan tegas akan diambil.

Tindakan itu penting bagi mengurangkan pertindihan program dalam kalangan agensi sekali gus mengurangkan pembaziran sumber kerajaan.

"Saya gunakan punca kuasa mesyuarat hari ini untuk tulis surat pada pengerusi dan ketua jabatan atau ketua pegawai eksekutif syarikat yang tidak laporkan pada SMEIPA, dua minggu bermula hari ni."

"Kita mahu maklumat ini sampai ke sekretariat untuk sampaikan pada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk dimasukkan dalam ucapan belanjawan," kata Zahid kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan di ibu negara.

Setakat ini, terdapat 40 program bernilai RM32.8 bilion sedang dikenal pasti perinciannya belum dilapor bawah SMEIPA.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Dewan Negeri N.29 Mahkota, September depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia menjadi kelaziman parti yang menyandang kerusi DUN atau Parlimen terlibat akan ditandingi semula oleh parti berkenaan.

Perkara itu katanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya dibawa ke Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

"Kita tahun DUN Mahkota adalah DUN di kawasan agak berpotensi untuk kita terus menangi dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti-parti politk dalam Kerajaan Perpaduan," tambah Zahid.

Mengulas lanjut, beliau tidak mahu ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin daripada parti lain yang menuntut kerusi di DUN itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM