KUALA LINGGI, 13 Ogos - Penduduk terjejas banjir di kebanyakan kawasan terlibat kini mula pulang ke kediaman masing-masing dan melakukan kerja-kerja pembersihan.
Tinjauan RTM di Kuala Linggi mendapati, air mula surut dan penduduk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga sudah mula berkurang.
Bagi penduduk di Taman Desa Bayu, air mula surut sejak petang semalam dan mereka sudah mula mengemas sejak awal pagi tadi.
"Belum surut betul-betul, malamlah kiranya sebab dekat depan ini masih ada air lagi, cuma depan rumah saja dah beransur surut air. Setakat ini mana barang-barang yang teruk kita keluarkan mana yang rasa kita boleh pakai tu kita pakai lah," kata penduduk Zawiyah Md Dom.
"Air mula naik dalam pukul 2.00 pagi. Kerugian anggaran dalam RM7,000, rumah saya sahaja tidak termasuk yang kerugian kecil-kecil. Air mula surut dalam pukul 3.00 petang semalam," kata Muhammad Rafiq Rosli.
Menurut mereka, kejadian banjir di kawasan perumahan itu adalah kali kedua dalam tempoh lebih 10 tahun sejak pertama kali berlaku pada 2008.