fb fb fb fb fb

Kurangkan cuti sekolah boleh kembalikan takwim persekolahan pada Januari

PUTRAJAYA, 15 MAC- Pemindahan takwim permulaan sekolah pada Januari hanya boleh dilaksanakan dengan segera menerusi langkah mengurangkan jumlah cuti persekolahan sedia ada.

Bagaimanapun, langkah itu dilihat akan menggangu waktu rehat guru dan pelajar selain memberi kesan dari sudut ekonomi serta pelancongan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, sebarang perubahan berkaitan takwim persekolahan perlu dilakukan mengikut Akta Pendidikan 1996.

Akta tersebut menetapkan jumlah minimum hari persekolahan mestilah tidak kurang daripada 190 hari bagi setiap satu takwim persekolahan.

"Kalau nak kembalikan semula pada Januari (takwim persekolahan), kita perlu kekalkan jumlah minimum itu dan anjak sikit demi sedikit.

"Jadi, ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, ia akan mengambil tempoh beberapa tahun dengan pengorbanan banyak pihak," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di sini, hari ini.

Tambah Pkharuddin, pihaknya melakukan pertimbangan sewajarnya dan mengambil kira keselesaan semua pihak dalam menetapkan takwim persekolahan pada setiap tahun.

Sesi persekolahan 2023/2024 yang bermula 19 dan 20 Mac ini bermula sedikit lewat bagi memastikan pengoperasian peperiksaan SPM tahun 2022 berjalan lancar.

(Datuk Pkharuddin Ghazali)

Media Baharu