FOTO : BERNAMA
KOTA BHARU, 9 Januari - Kerajaan mempertimbangkan semula kadar tarif elektrik negara ini bagi tempoh 2022 sehingga 2024 untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan,kerajaan sudah membuat keputusan mengenai tarif elektrik untuk tempoh tiga tahun itu dan ianya bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, kerajaan sudah mengkaji dengan mengambil kira keadaan negara ini yang baru pulih daripada Covid-19 dan krisis ekonomi.
Pengisytiharan mengenai tarif elektrik itu akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
"Saya memberi jaminan kerajaan mempertimbangkan tidak akan membebankan terutamanya pemegang akaun domestik. Jumlah keseluruhan pengguna elektrik di seluruh negara adalah sebanyak lapan juta dan 85 peratus daripadanya adalah pengguna domestik manakala selebihnya komersial serta industri." kata Takiyuddin.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu di Jalan Bayam di Kota Bharu.
Mengulas lanjut,beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, mungkin kadar tarif elektrik untuk pengguna industri dan komersial akan ada pengubahsuaian.
Pada perkembangan berlainan beliau berkata, semua bekalan elektrik di lokasi yang terjejas banjir termasuk Selangor dan Pahang sudah pulih 100% .
Ketika ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih giat membaik pulih tiang elektrik yang terjejas dan melibatkan kos ratusan juta ringgit.